BELASUNGKAWA
Hisham Zuhudy, Bukan Sekadar Kenangan
Oleh Ali Baheshti
Ketika jam menunjukkan angka 10:45 malam, pada 20 Januari 2004 ketika itu saya sedang menyusun ayat bagi menyiapkan satu artikel yang mengupas mengenai persoalan Islam untuk disumbangkan kepada sebuah majalah tempatan, saya telah menerima satu panggilan telefon dari seorang teman yang mengabarkan berita yang benar-benar mengugahi hati nurani saya sebagai seorang manusia. Pemergian Allahyarham Hisham Zuhudy Mustaffa, seorang aktivis muda PAS Kelantan yang sedang menuntut pada peringkat kedoktoran di UPM ke alam baqa’ dalam satu kemalangan jalan raya di Dungun pada awal pagi 20 Januari 2004 - (untuk maklumat terperinci sila lawati; http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=5693) - amat memeranjatkan saya serta teman-temannya kerana di kala ini, PAS samada peringkat negeri Kelantan ataupun Kawasan Serdang, Selangor dan juga kepada negara kita amat memerlukan peranan beliau memandangkan berharganya pewatakan kerja perjuangan beliau yang saya sifatkan sebagai sangat prolifik dan proaktif.

Sebelum saya menulis lebih jauh lagi, perlu saya nyatakan disini, sebenarnya saya agak serba salah untuk menulis artikel ini bilamana memikirkan akan implikasi daripada luahan ini terhadap ahli keluarga beliau. Namun kerana merasakan bahawa beliau bukan sahaja merupakan milik keluarganya tetapi juga milik kepada para pencinta gerakan Islam khususnya di dalam PAS selain daripada perasaan bertanggungjawab untuk berkongsi akan pengajaran dan pengiktibaran, maka saya mengambil kesempatan ini (yang sudah pasti kesempatan ini tidak akan kunjung lagi pada masa akan datang) untuk merakam sekelumit kenangan yang wajar diteladani oleh aktivis PAS yang lain yang mahu terjun dalam medan perjuangan yang nyata. Mudah-mudahan dengan secebis kenangan ini boleh membantu kita dalam memarakkan lagi api perjuangan Islam di tanahair lantas menoktahkan Malaysia sebagai sebuah pemerintahan yang berteraskan Islam.

Menghimbau kembali kenangan bersama beliau. Pernah pada satu ketika saya sedang rancak berbual dengan beliau mengenai kerjayanya dan asas desakan beliau untuk meneruskan pengajian ke peringkat PhD, beliau dengan penuh yakin menyatakan kepada saya, “hasrat ana mengambil PhD ini bukannya untuk naik pangkat tetapi kerana merasakan ilmu yang ana tuntut ini nanti boleh disumbangkan untuk parti terutamanya PAS Kelantan”. Saya fikir tidak ramai di kalangan aktivis muda PAS yang boleh meletakkan dirinya sampai ke tahap sedemikian rupa sekiranya kita tidak mempunyai kefahaman yang jelas mengenai halatuju perjuangan. Tetapi Allahyarham Hisham Zuhudy telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah berada pada landasan itu untuk berbakti kepada negara melalui wadah PAS. Pada saya, bukan sahaja PAS malahan Malaysia sebenarnya amat kerugian kerana kehilangan seorang anak muda yang berprospek tinggi untuk mencorak sesuatu yang bermakna kepada Islam di tanahair. Namun kita tetap insaf bahawa Tuhan lebih menyayangi beliau.

Teman saya yang juga teman karib beliau ada menyifatkan, kalau kita nak tengok ciri-ciri individu yang bersifat ‘Rabbanun Layl wa Fursannun nahar’ (Bagaikan pendeta dimalam hari dan tangkas berjuang di siang hari), maka lihatlah Hisham Zuhudy. Pada saya ungkapan ini yang seringkali disebut oleh para pejuang dalam Ikhwanul Muslimin, Mesir amat mahal harganya. Dan, sungguh bertuah kepada mereka yang dilihat oleh insan yang lain sebagai memenuhi taraf seupama itu. Yang pastinya, ketiadaan beliau telah meninggalkan satu komitmen yang sukar ditampung oleh individu yang lain. Beliau mempunyai bakat sebagai pemimpin (walaupun beliau seringkali menolak) dan acapkali teruji dengan mehnah & tribulasi, pemikiran Islamnya cukup dinamik terutamanya apabila memperkatakan soal survival ummah manakala daya kekuatan tenaganya seolah-olah berupaya mencabar kudrat pemuda yang berusia 21 tahun. Atas kombinasi inilah, maka menyelinap perasaan kagum saya terhadap diri beliau. Sepanjang hampir dua tahun perkenalan saya dengannya, beliau sentiasa cuba merealisasikan pesanan surah as-Shaff ayat 2-3 ke dalam keperibadiannya; diam bila perlu manakala apabila berbicara penuh dengan sentuhan ruhani. Inilah karekter yang menyebabkan dhamir saya begitu tergugah apabila menerima berita kehilangan antara salah seorang tauladan yang unggul dalam sejarah kehidupan saya.  Saya sangat-sangat syahdu.

Pada diri beliau menonjol pewatakan pemberian Allah SWT yang diterjemahkan dari ma’arif Qurani yang beliau pelajari dan tekuni dimana hati dan jiwa beliau terhias indah dengannya. Dari peribadi inilah yang menyerlahkan sosok agung beliau, penuh daya tarikan di iringi dengan sikap tawaduk, namun jika dihadapkan semua pujian di hadapan beliau maka beliau segera berkata ‘I am nothing syeikh’. Pekerjaan beliau samada dalam karier mahupun perjuangan dilakukannya dengan penuh perancangan, tekad, iman, tawakal, kebijaksanaan dan kesabaran sehingga menakjubkan para teman-temannya. Inilah erti kata jihad sebuah kehidupan seorang muslim yang membesar dalam ketaatan. Pemikiran beliau bukan sahaja terbatas kepada pemasalahan Malaysia tetapi turut menjangkau krisis ummah seluruh dunia. Konflik berzaman Palestin sentiasa mengundang kepedihan di hatinya serta membuatkan jiwa beliau selalu merasa sedih. Sanubari beliau sentiasa bersama di kalangan mustadha’fin.

Saya menyedari segala keperibadian murni beliau tidak dapat saya titipkan dalam satu lembaran kertas. Tetapi cukup sekiranya saya menyatakan bahawa Allahyarham Hisham Zuhudy adalah seorang ‘rajulun shaleh’ yang kaya dengan senyum dan kehadiran beliau dalam hidup saya bukan sekadar kenangan, malahan beliau adalah uswatun hasanah kepada para mujahid dalam landasan gerakan Islam dan para anak muda Malaysia. Semoga ruh suci beliau serta para syuhada yang lain diliputi rahmat Ilahi yang tidak terhingga.

AL-FATIHAH

- Ali Baheshti - 22.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN