MASANYA 'PASTI' TIBA 

Oleh Anak Jati Segamat

Melihatkan gambar-gambar penyeksaan ke atas puak Islam Iraq oleh kuffar Amerika begitu menyayat hati. Setelah menontonnya, saya pasti ramai daripada kalangan orang Islam hanya mampu berkata, "alah kesiannya, kejam sungguh askar Amerika". Itu sahaja dan terus melupakannya bila TV menyiarkan rancangan lain. Tambahan apabila rancangan yang disiarkan selepas itu berbentuk hiburan. Lebih mendukacitakan apabila tiada tindakan positif yang dilakukan oleh warga dunia Islam. Mana pergi OIC yang hanya tahu berseminar sahaja? Bukan di Iraq sahaja umat Islam dihina, dinoda dan diseksa. Ianya berlaku hampir ke atas kesemua umat Islam di seluruh dunia. Apa yang terjadi ke atas tahanan yang terdapat di Guantanamo Bay, tiada siapa yang tahu, kerana sehingga ke hari ini tiada rakaman gambar yang mampu dicuri untuk ditayangkan kepada umum.

Lama juga saya mencari jawapan, tetapi sehingga ke saat ini jawapan yang diilhamkan samar-samar sahaja. Sebagai seorang Islam yang percaya kepada rukun iman ianya adalah bala' dari ALLAH kerana beberapa sebab. Sebab yang paling mudah ialah kerana hampir kesemua umat Islam tidak menghayati ajaran yang diwahyukan sepenuh nya. Diambil mana-mana yang tidak membebankan dan ditinggalkan mana-mana yang tidak memihak kepada undang-undang ciptaan manusia.

Yang lebih mendukacitakan ialah apabila pemimpin yang mengaku beragama Islam menodai Islam itu sendiri. Kalau disorot kembali mengapa bala' menimpa rakyat Iraq sungguh mudah. Semasa Saddam berkuasa dahulu berapa ramai puak Kurdis dan para ulama yang dibunuh. Apa yang dilakukan oleh orang Islam Iraq untuk mengatasi kezaliman Saddam dahulu? Jawapannya tiada.

Di Palestin pula, sebelum puak Yahudi laknatullah mengganas, berapa ramaikah umat Islam di sana yang mengimarakkan masjid Al Aqsa. Buatlah penyelidikan, bukankah bila masuk waktu solat yang mendirikannya boleh dibilang dengan jari. Yang lain kebanyakannya berkhayal dengan ogah dan berfoya-foya. Keadaan demikian berlarutan berpuluh-puluh tahun sebelum ALLAH menurunkan bala'nya.

Begitu juga di Pattani, persundalan berleluasa, walhal di sana ramai tok-tok guru yang muktabar. Bukankah di awal tahun 90-an dahulu ramai umat Islam dari sebelah sini yang berguru di sana. Mana pergi pemuda-pemuda Islam di sana yang bebas menayangkan pistol-pistol yang terselit di pinggang. Mengapa lari bila askar Buddha Siam menyerang. Mesej yang saya terima dari sana menyatakan hampir kesemua mereka melarikan diri. Itu menunjukkan yang mereka sudah tidak menghayati ajaran Islam dengan lengkap dan sempurna.

Jangan pula kita lupa apa yang telah berlaku di Negara-negara blok Rusia. Bukankah kebanyakan rakyat di Negara-negara tersebut telah menerima Islam lebih awal daripada kita? Sama juga dengan Negara-negara lain, ALLAH menurunkan Bala' kerana dengan sebab-sebab yang sama.

Apa kurangnya dengan Negara kita? Apa yang telah dilakukan oleh orang Islam bila ada daripada kalangan pemimpin-pemimpin yang bangsat menghina hukum ALLAH, menghina sunah Rasullah s.a.w. Malah ada daripada kalangan penulis-penulis begitu biadab menulis berkaitan dengan Islam tetapi tidak menggambarkan Islam yang sebenar. Sehingga ke hari ini saya perhatikan tiada apa-apa tindakan walau pun daripada kalangan mereka yang memiliki autoriti penuh yang mereka ambil atau usahakan untuk membetulkan segala kekusutan. Mengapa jadi begini? Para pembaca carilah jawapannya sendiri walau pun saya sememangnya sudah mendapat jawapannya.

Marilah kita sama-sama berundur beberapa tahun ke belakang dan renung serta menungkan segala apa yang telah berlaku di Negara kita sendiri. Kalau benar kita orang ISLAM:
a. Bila seorang mufti hendak mencegah kemungkaran?
b. Bila seorang insan Muslim diaib dan dihina oleh mereka yang mengaku Islam?
c. Hukum Hudud dipersendakan oleh orang kafir dan orang Islam sendiri?
d. Surau-surau dirobohkan?
e. Pesta-pesta maksiat dianjurkan?
f. Datuk, nenek, ibu, ayah dan anak-anak yang berpakaian serta berkelakuan tidak senonoh?
g. Orang Islam yang masih gemar dengan nombor-nombor ekor. Sebagaimana di tempat saya, mereka semua setelah membeli akan berkumpul atau pun bersendirian membelek-belek the betting tiket seolah-olah mencari klu sama ada nombor yang dibeli itu membuahkan hasil atau pun tidak. Tidakkah mereka merasa malu apabila gelagat mereka di perhatikan oleh mereka yang bukan-Islam?
h. Waktu lain tak apa juga, ini waktu maghrib masih ramai orang-orang Islam yang berkeliaran di tempat-tempat awam. Masih bolehkah kita kategorikan mereka itu orang Islam?
i. Kalau ada kelapangan elok sekali sekala kita pergi ke warung-warung yang berhampiran dengan pekan yang menjalankan perniagaan hingga ke subuh. Di tempat saya, biasanya di stesen kereta api. Kalau diizinkan ALLAH kita pasti bertemu dengan gadis-gadis Melayu, sesetengahnya pula dalam keadaan mabuk, kebanyakannya pula berpakaian seolah-olah tidak berpakaian. Sudahlah begitu mereka seolah-olah berkelakuan seperti orang gila, terpekik, terlolong dan ketawa macam puntianak sebelum dikepit ada kalanya oleh pemuda-pemuda bukan-Muslim. Bila ditanya kepada orang-orang Islam yang melihat, mereka akan berkata, "not our problem, Jabatan Agama Islam ada". Tidakkah ini semua memungkinkan ALLAH menurunkan bala'? Ini hanya sebahagian sahaja kemungkaran yang dapat saya catatkan untuk dijadikan iktibar.

Walau pun di Negara kita ALLAH belum lagi menurunkan bala' sebagaimana di Negara lain, tetapi sedarlah bunga-bunganya sudah sekian terasa. Dengan kenaikan harga barang-barang, tidakkah boleh kita anggap ianya sebagai bala' dari ALLAH.

Kalau kita fikirkan secara sepintas lalu harga minyak tidak sepatutnya naik, kerana PETRONAS masih meraih keuntungan. Mengapa masih tamak dengan keuntungan yang telah diperolehi? Bukankah kebanyakan Negara Islam yang dinoda oleh puak kuffar berpunca daripada minyak? Kerana Negara pengeluar tidak menggunakan atau pun membelanjakan pemberian ALLAH pada jalan yang diredaiNya.

Bagaimana pula dengan segala tekanan dan kesempitan hidup yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa ke atas rakyat marhaen yang inginkan kebebasan mengikut lunas-lunas yang diizinkan oleh ALLAH. Tidakkah boleh ianya kita anggap sebagai bunga-bunga bala'?

Apa pula yang hendak kita tafsirkan berkaitan dengan perjalanan pilihan raya ke-11 yang ternyata ada unsur-unsur penipuan. Bukankah yang memainkan peranan utama bagi tujuan menipu itu orang-orang Melayu yang beragama Islam sendiri? Adakah perbuatan tersebut diredai oleh ALLAH? Kalau jawapannya "TIDAK" mengapa ianya berlaku? Jawapannya sungguh mudah. Kerana mereka masih mengikut dua jalan yang telah diwahyukan ALLAH yang terdapat di akhir surah Al-Fatihah. Iaitu mengikut jalan Yahudi dan Nasara. Fikirkanlah bagi sesiapa yang terlibat melakukannya.

Kini pihak-pihak yang tidak puas hati telah mengemukakan petisyen. Kita tunggu dan lihat apakah keputusan yang bakal dijatuhkan oleh mereka yang dipanggil "YANG ARIF" yang bersemayam di The Palace of Justice. Bebaskah mereka nanti apabila membuat penghakiman atau pun mengikut skrip yang telah di sediakan?

Saya adalah seorang hamba yang tidak punyai apa-apa tetapi mempunyai hasrat untuk menyeru saudara-saudara seIslam agar menghayati dan mengimani agama anutan kita agar tidak mendapat murka ALLAH baik di dunia mahu pun di akhirat. Janganlah dianggap enteng segala apa yang telah saya catatkan, kerana apa yang bakal berlaku di Terengganu telah saya rasai dua hari sebelum pilihan raya. Tetapi malang kerana seorang mantan Exco yang ingin saya hubungi gagal, setiap kali saya membuat panggilan hanya voice machine sahaja yang menjawab. Pesanan yang saya buat agar dipanggil balik pun tidak beliau lakukan. Gambaran yang saya perolehi benar-benar berlaku di Terengganu. Tanyalah kepada tok-tok kiai apa sepatutnya dilakukan apabila sesebuah negeri Islam dijatuhkan? Saya kira masih belum terlambat bagi umat Islam bangkit menantikan tahun 2008/2009.

Mulai dari saat ini berlatihlah untuk bangun di tengah malam melakukan solat hajat merayu ke hadirat Ilahi agar jangkaan saya "MASA NYA "PASTI" AKAN TIBA" tidak menjadi kenyataan. Juga marilah kita sama-sama menanam satu azam di dalam hati agar ISLAM dapat ditegakkan di Negara ini dengan kadar segera.

Anak Jati Segamat - 05.05.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Sertai Maillist M@RHAEN