Akidah Yang Tergugat
(Membalas artikel “Moral yang tergugat” Oleh Marina Mahathir)
Oleh Ahem - Laman M@RHAEN

Sebagai seorang ibu atau bapa Muslim, kita mempunyai tugas yang berat untuk memastikan anak-anak kita mempunyai Akidah yang kuat untuk menghadapi kehidupan yang mencabar ini,  bukan sahaja ketika remaja, bahkan sehingga akhir hayatnya dan juga kehidupan akhirat.  Apa yang penting bagi kita adalah untuk mendidik anak-anak kita agar bukan sahaja faham malahan beriman tentang tujuan kehidupan mereka di muka bumi ini.  Adakah kehidupan ini untuk menjadi kaya? Adakah kehidupan ini untuk mencari glamour?  Adakah kehidupan ini untuk mencari keseronokan hidup dengan membuat apa saja yang mereka mahu?

Sebagai seorang Islam,  Allah telah memberitahu akan tujuan kehidupan kita:

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk pengabdian kepada-Ku. Surah az-Zariyat: ayat 56-57
Pengabdian di sini bukan bermakna kita kena sentiasa duduk dalam masjid atau atas tikar sembahyang membaca Al-Quran atau berzikir.  Pengabdian bermakna kita kena buat apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang.  Jadinya, kita boleh buat apa jua yang kita mahu asalkan perkara itu bukan perkara yang dilarang oleh Allah.

Inilah yang Allah beritahu kita, dan siapakah kita untuk mempertikai suruhan Allah?

Tentang tindakan menyerbu sebuah disko di KL,  semua orang Islam sepatutnya tidak pergi ke tempat-tempat sebegini.  Melihat kepada gambar parti yang diadakan di situ dan membaca tentang disko ini, ini bukan tempat orang Islam berada.  Saya percaya 90% daripada pengunjung disko ini meminum arak dan suasana parti di dalam disko ini yang mana lelaki dan perempuan bercampur dengan pakaian yang mendedahkan aurat adalah bertentangan moral Islam.

Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Al-Ahzab : 59

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. An-Nur – 30-31

Di dalam ayat ini, adalah terang suasana disko itu bukan tempat orang Islam berada.  Dalam ayat di atas juga menerangkan garis panduan tentang berpakaian di dalam Islam.

Inilah yang Allah beritahu kita, dan siapakah kita untuk mempertikai suruhan Allah?

Sebagai seorang bapa Muslim, saya memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan kerjanya mencegah kemungkaran yang mana ia adalah diperintah oleh Allah.  Dengan menjalankan kerja menegah kemungkaran ini akan memberi pengajaran kepada remaja yang lain.

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf,  dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Ali ‘Imran : 110
Dalam ayat ini, Allah memberitahu kita dan menyuruh kita untuk mencegah kemungkaran.  Dan sesiapa menyuruh kepada makruf,  dan mencegah mungkar, dan beriman kepada Allah adalah dikira sebagai kaum yang terbaik.

Inilah yang Allah beritahu kita, dan siapakah kita untuk mempertikai suruhan Allah?

Tentang cara pihak berkuasa memperlakukan mereka yang ditangkap, setakat ini kita mendengar daripada satu pihak.  Kita tidak dapat penjelasan daripada pihak berkuasa disebabkan tekanan politik kepada mereka.  Adalah tidak adil untuk menghukum seseorang sebelum seseorang itu dapat membela diri.  Jika betul ada yang tidak kena dengan cara penangkapan ini dibuat, perubahan dari segi carakerja perlu untuk dibuat.  Tetapi kerja mencegah kemungkaran mesti diteruskan.  Daripada yang diberitahu, serbuan ini dilakukan atas informasi yang diberikan oleh orang ramai dan bukan pihak berkuasa sengaja hendak perkena disko ini.

Sebagai seorang Islam, kita kena melihat masyarakat yang bertoleransi mengikut perspektif Islam.  Dalam Islam, seorang Islam mesti mengikut ajaran Islam dan orang bukan-Islam mesti dibenarkan untuk beramal dengan ajaran agama mereka.  Sebarang kumpulan agama tidak boleh mengganggu perjalanan atau ajaran agama yang lain.  Kita tidak patut mengambil pandangan barat untuk menerangkan makna masyarakat yang bertoleransi.

Untuk kamu agama kamu, untukku agama ku. Al-Kafirun : 6
Inilah yang Allah beritahu kita, dan siapakah kita untuk mempertikai suruhan Allah?

Sebenarnya saya tidak akan bermegah dengan mengatakan Malaysia ini adalah negara Islam yang progresif.  Ya mungkin kita lebih baik daripada Uganda, Zimbabwe dan Ghana.  Tetapi untuk membandingkan dengan negara maju, saya amat meraguinya.  Adalah rahsia yang diketahui umum sistem keadilan negara kita telah dicemar. Hmmm Oleh siapa ya?  Gejala rasuah telah tersebar luas. Ia telah dimulakan apabila mereka yang terlibat dengan rasuah akan diselamatkan jika mempunyai hubungan baik dengan pimpinan tertinggi.  Hmm…Masa zaman siapa ya?  Sistem pendidikan kita telah kucar-kacir terutamanya dengan sistem mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Guru-guru Sains rata-rata bersetuju dengan pendapat ini.  Di mana akhirnya guru-guru ini terpaksa mengajar dua perkara, iaitu Sains dan bahasa Inggeris, dalam kelas Sains mereka.  Hmmm… Siapa punya idea ya?  Adakah anda tahu masih ada anak-anak yang tidak pergi ke sekolah disebabkan masalah kewangan.  Ini bukan sahaja terjadi di kampung tetapi juga di Lembah Kelang?  Adakah anda tahu projek “Sekolah Bestari” telah tidak berjaya sepenuhnya untuk dijalankan setelah berjuta-juta ringgit habis dibelanjakan.  Bagaimana dengan projek perumahan yang memusnahkan alam sekitar?  Adakah anda tahu kebanyakan projek rumah murah dibuat bukan untuk semua rakyat Malaysia?  Ia adalah untuk ahli parti tertentu dan jika anda mempunyai kabel yang besar, anda boleh memilikinya walaupun anda seorang yang kaya?  Adakah anda tahu di negara Islam yang progresif ini ada sebuah kasino yang merupakan satu-satunya di Asia Tenggara?

Percayalah, mereka yang tidak tahu tentang Islam dan yang tidak mengamalkan ajaran Islam adalah golongan yang menentang serbuan ke disko yang telah dilakukan.  Jika kita pergi ke kampung dan bertanya orang Islam yang biasa, mereka akan menyokong tindakan ini.  Hanya mereka yang kaya atau mempunyai kuasa dan tidak beramal dengan ajaran Islam akan menentang tindakan ini.

Tidak salah jika seluruh dunia tahu tentang tindakan ini, jika dibuat mengikut undang-undang.  Kita sepatutnya kena mempunyai pegangan sendiri dan merasa bangga kepada pegangan kita ini.  Sebagai orang Islam, kita sepatutnya tidak perlu risau tentang pandangan orang lain.  Kita sepatutnya risau tentang pandangan Allah sebab pada akhirnya kita akan menjawab kepada Boss kita, iaitu Allah.  Pada masa itu, tiada siapa dapat menolong kita, tiada kroni, tiada kabel, tiada kuasa.  Oh ya…  kenapa kita tidak merasa malu kepada negara lain apabila sistem kehakiman kita telah dikoyak rabakkan oleh orang itu?

Untuk para remaja itu, kita kena mendidik mereka dan juga diri kita tentang ajaran Islam.  Kemudian apa kata kita buat jadual untuk keluar makan bersama keluarga ke KFC atau Mc. Donald atau Pizza Hut atau Gerai Mamak atau ke tempat-tempat lain atau untuk yang berkemampuan, keluar makan malam di Hotel sekali atau dua kali seminggu.  Kemudian jadualkan untuk mendengar kuliah agama di masjid tiga kali seminggu. Kemudian jadualkan untuk berkelah sekali sebulan.  Kemudian jadualkan untuk beriadah tiga kali seminggu.  Kemudian hantar mereka ke program motivasi sekali atau dua kali setahun.  Kemudian mengembara dua kali setahun.  Sebenarnya banyak lagi tempat yang boleh kita pergi memenuhi tuntutan masa kita tanpa mengorbankan prinsip Islam kita.  Yang penting di dalam aktiviti ini adalah kehadiran ibu bapa.  Percayalah jika kita lakukan ini dan mengambil Islam sebagai cara hidup, InsyaAllah kita akan berjaya di dunia dan di akhirat.

Jadi jangan salahkan orang lain jika kita gagal mengajarkan anak kita dengan pendidikan Islam.  Jangan salahkan orang lain jika kita gagal menerangkan dan meyakinkan mereka tentang tujuan hidup kita di muka bumi ini.  Dan jangan salahkan orang lain jika kita gagal menjadi ibu bapa Islam yang baik. Siapakah yang patut kita persalahkan?

Ahem
ahem0209@yahoo.com - 08.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)
Baca artikel Moral Yang Tergugat dan respons yang telah dikirimkan, di sini.


Hantar artikel ini kpd sahabat: