Cadangan Strategi Perjuangan BA yang baru 

Assalamualaikum

Saya terpanggil untuk menambah sedikit cadangan kepada rakan-rakan penyokong BA untuk meneruskan perjuangan selepas dikecewakan dengan keputusan-keputusan yang tidak langsung menunjukkan logik dari segi angkanya.

Jelas sekali hasil keputusan pilihanraya kali ini sudah boleh dijangka melihatkan cara SPR dan pihak BN memanupulasi jentera-jentera kerajaan, mengamalkan politik wang, pemindahan senarai para pengundi dan proses persempadanan semula.

Untuk melihat mengapa BN menang, saya syorkan satu lagi kaedah sebagai menjawab persoalan ini. Terfikirkah kita bagaimana BN boleh kalah di banyak kawasan ketika kemuncak ketidakpuashatian rakyat pada Pilihanraya Umum 1999 lalu?

Ya. Ketika itu sempadan pilihanraya bagi DUN dan Parlimen adalah yang dipakai ketika Pilihanraya Umum 1995, iaitu ketika BN cemerlang dalam pilihanraya. Stratergi yang dipakai, paling kuat sekali pun adalah melalui pengundi hantu ketika itu. Sehinggakan BA dapat dikekang untuk menawan 2 sahaja negeri. Bagi saya sepatutnya BA dapat lebih banyak negeri termasuk Kedah dan Pahang.

Nah, sekarang mereka sudah bersedia selama 4-5 tahun untuk tanggal 21b Mac lalu. Mereka telah yakin dengan persempadan semula, ditambah lagi dengan amalan pengundi hantu akan memenangkan mereka di banyak kawasan seperti mana yang termaktub dalam keputusan gempar pilihanraya baru-baru ini.

Saya lihat, PAS dan KeAdilan perlu memikirkan semula, adakah perjuangan untuk Malaysia yang baru perlu diusahakan melalui proses pilihanraya. Benar, itu saja jalan untuk menukar kerajaan mengikut undang-undang yang saha di negara kita. Cara lain ada, tetapi sudah tentu dan belum tentu sah di sisi undang-undang, yang akhirnya akan menyebabkan si pemegang kuasa bermasalah ketika beliau di takhta.

Keputusan pilihanraya kali ini waima betapa 'flaw' sekalipun, perlu menyedarkan bahawa masyarakat Melayu yang Islam masih belum berganjak. Kita dengar, kita rasa dan kita lihat bahawa ramai yang sudah tidak berpuas hati dengan status quo, tetapi ini tidak mungkin menjamin perubahannya dilakukan.

Apa penyakit kita? Pertama, ialah kita masih bergantung kepada kerajaan sekarang. Yalah. Contohnya, si Melayu yang berkhidmat dengan kerajaan, sudah berkeluarga, anak beristeri, berhutang rumah, kereta dan berkredit kad. Sudah tentu orang seperti ini kalau digertak oleh pihak atasan, dengan gertakan seperti tidak naik pangkatnya, anaknya tidak diluluskan biasiswa, sehinggalah yang lebih teruk lagi akan terpaksa memangkah dacing di kertas yang bernombor siri tadi kerana risaukan keputusannya itu diketahui pihak atasan.

Natijahnya beliau berharap kepada kerajaan yang dipegang BN! Tidak pernah terfikir di benak hatinya, ada kehidupan lain, sekiranya tidak dinaikkan pangkat, tidak menerima biasiswa dan sebagainya. Tidak pernah terbenak ditusuk kalbunya bahawa beliau mampu mengubah kehidupannya kalau dipecat sekalipun! Walaupun contohnya Melayu tadi berpendidikan tinggi, graduan universiti luar umpamanya dan banyak kelebihan lain yang dipunyainya, melainkan keyakinan untuk tidak bergantung kepada sesiapa.

Dengan mengambil contoh inilah, PAS terutamanya sebagai badan politik yang besar dan mewakili umat Islam di pihak pembangkang selain pernah dan sedang memerintah sesebuah negeri perlu bertindak mengubah pradigma orang Melayu-Islam untuk berdikari.

Bayangkan kita seolah-olah bukan Bumiputera. Kita adalah rakyat kelas kedua di negara kita sendiri (sebab kita menyokong pembangkang). Bayangkan kedudukan kita seperti itu. Dengan itu kita perlu bertindak menolong sesama sendiri. Tidak perlu memegang tampuk kuasa untuk mendirikan sebuah hospital Islam melalui koperasi, tidak perlu memegang tampuk kuasa untuk membina hatta universiti Islam sekalipun, begitu juga sekolah-sekolah harian yang hebat-hebat (tolong jangkau dari PASTI). Itulah yang dilakukan oleh rakan kita dari bangsa Cina dan ini juga dilakukan oleh puak-puak Yahudi di Amerika.

Kita tidak perlu bermain kotor seperti sebahagian daripada bangsa mereka. Kalau bisnes kita jujur, kalau institusi pengajian tinggi kita cemerlang, kalau pusat rawatan kita penyayang dan tidak mementingkan keuntungan kewangan, semua orang akan tertarik kepada kita, tidak terlalu perlu ucapan berdegar-degar dengan penuh karisma. Semua perkhidmatan atau perniagaan itu tadi akan mendahulukan ahli koperasi yang menyumbang, kalau mampu dengan sedikit imbuhan memberi khidmat kepada hatta bukan ahli (UMNO) dan bukan Islam sekalipun. Kita juga boleh buat bank sendiri, kalau tidak boleh di negara sendiri, kita mula di negara yang tidak remeh urusan untuk menubuhkan banknya sendiri. Pasaraya pun ada orang kita yang punya, tunjukkan stratergi perniagaan muslim di outlet kita. Nanti cashier yang bekerja pun boleh disuruh tutup aurat sebab kedai itu kita punya!

Kita boleh, dengan bilangan ahli dan simpatisan PAS/KeAdilan memberikan biasiswa, melalui dana sendiri untuk pelajar cemerlang- tidak perlu meminjam dengan faedah daripada PTPN. Kita boleh lakukannya! Bukankah PAS telah berjaya mengumpulkan ramai profesional, kenapa kena tunggu menang pilihanraya! Inilah masanya nak buktikan kemampuan kita.

Apabila orang-orang Melayu sudah tidak mengharap kepada kerajaan, waktu itulah segala ugutan tidak berguna lagi. Kita mampu berdiri di atas kaki sendiri. Tidak payah menunggu permohonan biasiswa JPA, atau tidak payah tunggu beratur di Hospital IJN untuk pembedahan jantung misalnya.

Mulakan dari sekarang! Mulakan dengan kecil, dengan koperasi dan mulakan dan teruskan dengan serius dan istiqamah. Itulah sebenarnya yang sedang dibuat oleh Hamas di Palestin walaupun perjuangan lebih 50 tahun tidak membuahkan kemenangan yang kunjung tiba. Mereka sudah ada hospital sendiri!

Tetapi ingat! Apa yang dibuat Hamas di tanah yang terjajah. Di mana segala jenis undang-undang yang lebih teruk (atau sama) dari/dengan Malaysia dipakai. Kadar pengangguran tinggi dan sebagainya.

Apa salahnya pendokong-pendokong Islam, reformasi dan keadilan menyumbang tanda sokongan untuk perusahaan yang diusahakan oleh koperasi-koperasi dan yayasan yang ada kaitan dengan PAS.

Fikirkanlah cadangan ini wahai pimpinan pembangkan (terutama PAS) di Malaysia cakap sahaja sudah tidak berguna! Kita kena buat!

Wassalam

Oleh: Abidsyah- 26.03.2004 (dipetik drp Forum M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN