Petikan: Isu Surat Layang Syed Ahmad Idid (bekas Hakim Mahkamah Tinggi)
[[.....Begitulah juga apabila timbulnya surat terbuka daripada Syed Ahmad Idid iaitu bekas Hakim Mahkamah Tinggi yang menceritakan bagaimana hakim boleh dibeli, hakim boleh diberi tiket untuk melancong, hakim boleh diupah seks dan sebagainya.

Apabila kerajaan tahu penulis itu Syed Ahmad Idid, kerajaan tidak bertindak, maka rakyat menganggap apa yang ditulis oleh hakim itu betul iaitu hakim boleh dibeli, hakim boleh diupah, hakim boleh dibawa melancong.

Kami di dalam Parlimen ini berkali-kali mendesak diambil tindakan kepada Syed Ahmad Idid atau membuat satu siasatan terbuka.

Kerajaan tidak berbuat apa-apa tentang perkara itu, maka tertanam dalam pemikiran rakyat hakim boleh dibeli, hakim boleh diupah seks, hakim boleh diberi saham kerana segala tuduhan yang dibuat oleh Syed Ahmad Idid tidak diambil tindakan.

Begitulah juga rakyat melihat perbicaraan kes Yang Berhormat dari Kota Melaka - Lim Guan Eng. Apa yang masih dikomen ialah pendakwaan 'dipilih-pilih'. Apabila (bekas) Perdana Menteri telah menyerang keputusan hakim, kemudian apabila Timbalan Perdana Menteri dipecat daripada Kabinet, dia pula pergi ke jalan raya dan memberitahu bahawa "hakim boleh dibeli, ada konspirasi hakim, pemimpin tertinggi kerajaan dan polis untuk menjatuhkan beliau".

Maka apa yang disebut oleh bekas Timbalan Perdana Menteri confirmed apa yang dikatakan oleh (bekas) Perdana Menteri TKT iaitu mempertikaikan keputusan hakim.

Oleh itu, (bekas) Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri memperlengkapkan satu sama lain untuk meletakkan rakyat tidak percaya lagi kepada sistem kehakiman di Malaysia.

Sebab itulah apabila pembangkang menyatakan sesuatu dan apabila kita minta masalah kehakiman ini dilihat dengan begitu teliti, masalah surat daripada Syed Ahmad Idid hendaklah diambil tindakan. Pihak kerajaan menganggap pada waktu itu, ini hanyalah suara gimik pembangkang. Tetapi sekarang kerajaan sendiri menghadapi krisis keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman....- Petikan ucapan YB Haji Mohamad bin Sabu pada Selasa, 27 Oktober 1998, ketika membahas Belanjawan 1999 ]]

Petikan daripadan HarakahDaily (09 Nov. 1998)